Thursday, November 09, 2006

Penceramah agama berhak dibayar lebih tinggi

SAYA amat tertarik dengan kenyataan beberapa Ahli Parlimen apabila membangkitkan isu perlunya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berubah dan isu penceramah yang meminta bayaran begitu tinggi.

Saya tidak bertujuan mempertahankan Jakim sebab saya bukan kakitangan Jakim. Tetapi seperti yang selalu dinasihatkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kita ada platform lain untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kita. Bukannya mencari publisiti murahan sehingga merosakkan imej agama Islam di kalangan orang bukan Islam. Isu-isu agama sepatutnya ditangani dengan bijaksana ibarat menarik rambut dalam tepung. Membuka pekung di dada di khalayak hanya akan mengundang implikasi negatif terhadap kesucian Islam.

Memang kita akur Jakim perlukan perubahan, tetapi Islam tidak hanya boleh diletakkan di bahu Jakim atau ustaz sahaja kerana kemampuan mereka terhad. Apa peranan kita sebagai khalifah Allah? Apakah kerja-kerja menyebarkan syiar Islam terletak di bahu pihak tertentu sahaja? Bagaimana dengan peranan orang yang lain termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat?

Membandingkan penceramah dengan Siti Nurhaliza atau artis adalah dua isu yang amat berbeza. seorang penyanyi dan seorang lagi penyampai ilmu agama. Menyanyi tidak memerlukan ijazah, asalkan ada suara dan rupa paras, tidak ada kelulusan pun tak apa. Hatta tak lulus Penilaian Menengah Rendah pun mereka diterima. Maka mereka akan diagung-agungkan dan diberikan publisiti yang begitu meluas dan dibayar dengan harga yang begitu tinggi. Tetapi tidak sedemikian dengan penceramah agama. Mereka mesti mempunyai kelayakan asas untuk memberikan ceramah.

Yang Berhormat meminta mereka yang berceramah supaya memberi khidmat secara percuma. Cuba Yang Berhormat bayangkan berapakah gaji pegawai-pegawai Jakim berbanding elaun wakil rakyat. Itu sudah cukup untuk dibuat perbandingan.

Begitu juga dengan penceramah-penceramah yang lain. Terus terang, saya bukan penceramah sepenuh masa, tetapi bila ada kelapangan saya akan turun berceramah, itu pun tidak secara percuma. Titik peluh dan ilmu yang saya ada, perlu diberikan ganjaran setimpal. Puluhan ribu habis dibelanja untuk menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi, bila dijemput untuk mencurahkan ilmu, takkan percuma kot? Sehingga kini saya masih belajar di peringkat kedoktoran.

Kenapa Yang Berhormat tidak mempertikaikan artis-artis yang “demand” begitu tinggi. Sekadar menyanyi mereka dibayar lebih daripada RM10,000. Apakah kelayakan mereka? Rata-rata hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.

Saya tidak pasti siapakah pegawai Jakim yang “demand” begitu tinggi sehingga RM2,500.

Tetapi kalaulah dia “demand” sedemikian, kita masih mempunyai pilihan. Carilah pegawai Jakim yang lain. Kenapa perlu dibangkitkan dalam Parlimen? Kenapa disebabkan oleh nila setitik rosak susu sebelanga.

Sepatutnya penceramah dibayar lebih sebab mereka membawa mesej mendidik masyarakat dan membina tamadun. Bandingkan memberikan ceramah dan jam dibayar RM200 berbanding dengan menyanyi dua lagu dibayar RM10,000. Apa manfaat yang diperoleh dengan mendengar dua buah lagu tak sampai pun 10 minit dengan mendengar ceramah dua jam?

Hari ini, semua sedar bahawa hiburan berlebihan menjadi punca bertambahnya gejala sosial. Inilah pemikiran kelas ketiga yang perlu diberikan perubahan. Dalam era menjadi sebuah negara maju, mahu tidak mahu, ilmu mesti diletakkan di tempat yang tinggi. Bukannya hiburan. Tamadun manusia tidak pernah ditegakkan dengan menyanyi dan menari, tetapi ditetapkan dengan asas ketinggian ilmu dan peribadi akhlak mulia.

– MOHD. RIDHUAN LEE ABDULLAH

Naib Presiden Persatuan

Cina Muslim Malaysia

No comments: