Thursday, November 09, 2006

Suatu pagi

askum...

kali ni rasa macam nak cerita sikit perasaan seorang ayah setiap pagi weekdays. tak pasti kepada bapa-bapa muda alaf ketiga yang lain, ini cuma luahan perasaan yg bercelaru setiap pagi nak hantar anak pegi nursery. situasinya mudah, anak bangun pagi, ayah bangun pagi, ayah siapkan anak, ayah bersiap, ayah hantar anak pegi nursery, ayah pergi kerja. hakikatnyaa....

bayangkan, anak bangun awal pagi. anak ini dalam fikirannya tidak banyak, makan, minum susu, tidur dan main. pada sesiapa yang ada anak kecil, pasti akan dapat membanyangkan perilaku anak ini di pagi hari. bangun, merengek2 sedikit mencari perhatian. kemudian tersenyum girang, ketawa, berguling-guling, berlari2 kearah kereta mainan nya. apabila ayahnya hilang dari pandangan, bingkas bangun berlari mencari ayahnya. dipeluk kaki seerat yang mungkin, seolah-olah sudah sekian lama tidak berjumpa. kemudian berlari lagi ke longgokan mainannya, mencari buku2 kecil dan diberikan kepada ayah untuk di bacakan, "CAR", "AEROPLANE", "TRUCK", anak melonjak girang.

si ayah kemudian membawa anak keluar, melihat alam ciptaan allah. "BIRD", "SUN", cukup girang si anak didukung oleh ayahnya sambil cuba untuk mengulang bait-bait kata yang sebut si ayah. melonjak-lonjak, berpaling kiri kanan, kaki menendang-nendang. dari mulutnya terbit berbagai suku kata "jerman" yang hanya difahami oleh dirinya sahaja.

kemudian, saat yang mengguris hatinya tiba. si ayah membawa anak masuk kedalam kereta, seolah2 faham apa yang bakal terjadi, si anak terus senyap, berdiri tegak di tempat duduk hadapan. kereta bergerak, badannya di sendeng ke kiri dan kanan mengikut liuk lentuk pergerakan kereta. sampai ke destinasinya, NURSERY. episod hiba bermula, si anak memeluk erat ayahnya, cukup erat. berusaha untuk tidak berpisah lansung. si ayah dengan sedaya upaya cuba untuk menyerahkan si anak kepada penjaga nursery. jeritan kedengaran memecah kesunyian pagi. tangisan meminta simpati hanya mampu ditenung sayu oleh si ayah. apalah tenaga si anak di bandingkan dengan si ayah. pelukan eratnya di rungkai dengan mudah dan si anak menangis semahu-mahunya sambil penjaga nursery mengunci jeriji besi. si ayah bejalan menuju ke kereta, masuk kedalam kereta dan beredar. sesungguhnya, walaupun kereta proton waja itu ditutup rapat pintu dan cermin, masih jelas kedengaran betapa sayunya tangisan si anak memanggil-manggil ayahnya. berakhirlah perjuangan si anak di pagi itu, episod baru akan bermula keesokkan harinya, dengan perjuangan yang sama, dan seterusnya, tidak pasti sehingga bila penghujungnya.

perasaan si ayah? tuhan sahaja yang maha tahu akan segalanya. sedih tidak dapat digambarkan. betapa si anak berusaha untuk bangun awal di pagi hari, sudah tentu dalam fikiran si anak untuk bersama-sama bermain, makan, minum susu dengan ayah dan ibunya. akan tetapi, si ayah melihat masanya sudah tiba untuk menghantar anaknya ke tempat lain. betapa seolah-olah begitu contra harapan si anak dengan niat si ayah di pagi hari setiap hari bekerja.

moga allah merahmati keluarga ini, moga allah memberi petunjuk kepada keluarga ini, moga allah memberi jalan penyelesai kepada keluarga ini, moga allah mengeratkan ikatan kekeluargaan keluarga ini...

Penceramah agama berhak dibayar lebih tinggi

SAYA amat tertarik dengan kenyataan beberapa Ahli Parlimen apabila membangkitkan isu perlunya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berubah dan isu penceramah yang meminta bayaran begitu tinggi.

Saya tidak bertujuan mempertahankan Jakim sebab saya bukan kakitangan Jakim. Tetapi seperti yang selalu dinasihatkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kita ada platform lain untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kita. Bukannya mencari publisiti murahan sehingga merosakkan imej agama Islam di kalangan orang bukan Islam. Isu-isu agama sepatutnya ditangani dengan bijaksana ibarat menarik rambut dalam tepung. Membuka pekung di dada di khalayak hanya akan mengundang implikasi negatif terhadap kesucian Islam.

Memang kita akur Jakim perlukan perubahan, tetapi Islam tidak hanya boleh diletakkan di bahu Jakim atau ustaz sahaja kerana kemampuan mereka terhad. Apa peranan kita sebagai khalifah Allah? Apakah kerja-kerja menyebarkan syiar Islam terletak di bahu pihak tertentu sahaja? Bagaimana dengan peranan orang yang lain termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat?

Membandingkan penceramah dengan Siti Nurhaliza atau artis adalah dua isu yang amat berbeza. seorang penyanyi dan seorang lagi penyampai ilmu agama. Menyanyi tidak memerlukan ijazah, asalkan ada suara dan rupa paras, tidak ada kelulusan pun tak apa. Hatta tak lulus Penilaian Menengah Rendah pun mereka diterima. Maka mereka akan diagung-agungkan dan diberikan publisiti yang begitu meluas dan dibayar dengan harga yang begitu tinggi. Tetapi tidak sedemikian dengan penceramah agama. Mereka mesti mempunyai kelayakan asas untuk memberikan ceramah.

Yang Berhormat meminta mereka yang berceramah supaya memberi khidmat secara percuma. Cuba Yang Berhormat bayangkan berapakah gaji pegawai-pegawai Jakim berbanding elaun wakil rakyat. Itu sudah cukup untuk dibuat perbandingan.

Begitu juga dengan penceramah-penceramah yang lain. Terus terang, saya bukan penceramah sepenuh masa, tetapi bila ada kelapangan saya akan turun berceramah, itu pun tidak secara percuma. Titik peluh dan ilmu yang saya ada, perlu diberikan ganjaran setimpal. Puluhan ribu habis dibelanja untuk menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi, bila dijemput untuk mencurahkan ilmu, takkan percuma kot? Sehingga kini saya masih belajar di peringkat kedoktoran.

Kenapa Yang Berhormat tidak mempertikaikan artis-artis yang “demand” begitu tinggi. Sekadar menyanyi mereka dibayar lebih daripada RM10,000. Apakah kelayakan mereka? Rata-rata hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.

Saya tidak pasti siapakah pegawai Jakim yang “demand” begitu tinggi sehingga RM2,500.

Tetapi kalaulah dia “demand” sedemikian, kita masih mempunyai pilihan. Carilah pegawai Jakim yang lain. Kenapa perlu dibangkitkan dalam Parlimen? Kenapa disebabkan oleh nila setitik rosak susu sebelanga.

Sepatutnya penceramah dibayar lebih sebab mereka membawa mesej mendidik masyarakat dan membina tamadun. Bandingkan memberikan ceramah dan jam dibayar RM200 berbanding dengan menyanyi dua lagu dibayar RM10,000. Apa manfaat yang diperoleh dengan mendengar dua buah lagu tak sampai pun 10 minit dengan mendengar ceramah dua jam?

Hari ini, semua sedar bahawa hiburan berlebihan menjadi punca bertambahnya gejala sosial. Inilah pemikiran kelas ketiga yang perlu diberikan perubahan. Dalam era menjadi sebuah negara maju, mahu tidak mahu, ilmu mesti diletakkan di tempat yang tinggi. Bukannya hiburan. Tamadun manusia tidak pernah ditegakkan dengan menyanyi dan menari, tetapi ditetapkan dengan asas ketinggian ilmu dan peribadi akhlak mulia.

– MOHD. RIDHUAN LEE ABDULLAH

Naib Presiden Persatuan

Cina Muslim Malaysia

Tuesday, November 07, 2006

Paderi bunuh diri kerana Islam berjaya

BERLIN: Seorang paderi yang sudah bersara bertindak membunuh diri di sebuah biara di Jerman pada Selasa lalu kerana terlalu kecewa dengan kegagalan pemimpin Gereja Protestan membendung kebangkitan Islam di negara itu.


Roland Weisselberg, 73, menyimbah petrol ke tubuhnya dan membakar diri di kawasan biara Augustine di bandar raya Erfurt.

Saksi berkata, Weisselberg memanjat bangunan bersebelahan gereja biara itu dan menjerit ‘Jesus dan Oskar’ sebelum api menyambar dirinya.

Perkataan Oskar merujuk kepada Oskar Brüsewitz, paderi yang membakar diri pada 1976 sebagai bantahan terhadap pemerintahan rejim Komunis di Jerman Timur.

Kakitangan biara cuba memadamkan api dan Weisselberg masih sedar ketika dibawa ke hospital. Dia meninggal dunia sehari kemudian.

Laporan media menyebut, paderi itu cuba membunuh diri di dalam gereja tetapi mengubah fikiran selepas mendapati pintu terkunci.

Datuk Bandar Erfurt, Elfriede Begrich, memberitahu wartawan bahawa balu Weisselberg berkata, suaminya membunuh diri kerana terganggu dengan kebangkitan Islam dan pendirian gereja berhubung isu itu. Weisselberg bersara sebagai paderi pada 1989 kerana tidak sihat. – Agensi

Ketua Paderi Protestant Saxony, Axel Noack, berkata insiden itu mengejutkan masyarakat setempat tetapi berharap ia tidak menjejaskan hubungan baik antara penduduk Kristian dan orang Islam.

“Kami di Timur masih di tidak sepakat apabila kami membincangkan mengenai Islam,” kata Noack.

Hubungan dengan penduduk Islam menjadi isu perbahasan hangat di Jerman sejak beberapa bulan ini, yang dicetuskan pembatalan opera Mozart di Berlin kerana mempunyai adegan membayangkan kepala Nabi Muhammad yang dipenggal berikutan bimbang ia menimbulkan kemarahan umat Islam. — Agensi