Tuesday, May 16, 2006

HAMAS : Pesanan Buat Umat Islam di Malaysia

(Ini adalah pesanan Dr Khalil al-Haya mewakili HAMAS di Palestin untuk umat Islam di Malaysia. Beliau telah berada di Malaysia pada tarikh 11 Mei-17 Mei 2006 untuk siri kempen "Bersama Menyokong Rakyat Palestin dan kerajaan HAMAS". Pesanan ini telah diterjemahkan oleh Maszlee Malik di atas permintaan Dr Khalil)

Alhamdulillah, Allah telah memilih kami yang berada di Palestin untuk berjihad. Kami telah dipilih untuk menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami telah dipilih oleh Allah SWT untuk mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami untuk menentang musuh Allah dan mempertahankan Masjid al-Aqsa. Kami juga telah dipilih oleh Allah SWT untuk mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid ketiga suci mereka. Kami juga telah dipilih oleh Allah untuk menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan kami berbanding kehidupan dunia. Selama lebih daripada 60 tahun, kami hidup di medan pertempuran. Selama waktu itu jugalah kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa?, hanya kerana kami mengucapkan La Ilaha Ila Allah, dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.

Pelbagai bentuk kesengsaraan telah rakyat Palestin lalui. Pengusiran dari rumah, kampung halaman, dan juga tanah watan. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan apa-apa lagi perbuatan tidak bertamadun yang boleh diungkapkan, telah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited untuk terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ianya adalah jihad, ianya adalah kemuliaan, ianya adalah bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.

Ketika di waktu awal penjajahan, kami, saudara anda dari gerakan Islam telah menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam telah dibantai penjajah. Pembantaian itu walau bagaimanapun tidak cukup untuk melemahkan kami. Sehinggalah di zaman Jamal Abdul Naser, sepertimana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh tersebut,gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kmai telah menumpukan usaha untuk pembinaan semula struktur perjuangan. Usaha pendidikan, dakwah, tarbiyyah dan kebajikan telah menjadi agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehinggalah di pertengahan 80'an. Apabila arus sekular telah mula jemu dengan perjuangan. Ketika arus sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin telah mula lesu. Kami mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami adalah berteraskan
Islam dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

HAMAS, semenjak hari pertama penubuhannya telah menjadikan jihad sebagai jalan utama untuk memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga telah menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga telah memberikan nyawa ahli-ahli mereka untuk tujuan tersebut. HAMAS juga telah berjanji dengan rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam untuk terus komited dengan perjuangan mereka. HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah mereka. Kemenangan ini, walaupun indah, namun ianya merupakan ujian yang getir bagi kami. Kemenangan tersebut merupakan era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang di dalam perjuangan kami, iaitu ruangan politik pemerintahan. Semakin bertambahnya beban, semakin tingginya perngorbanan.

Buat umat Islam di Malaysia, andalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita telah diikat dengan fikrah dan aqidah yang sama. Kita telah dihimpunkan di dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama di dalam perjuangan dengan manhaj yang sama. Kami adalah wakil anda di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan anda. Pemerintahan kami adalah pemerintahan anda. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pecinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah anda sedar perkara ini?, jika anda tidak sedarkan perkara ini siapakah lagi yang akan menyedarinya???

Umat Islam di Malaysia sekelian, menjadi pemerintah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi memerintah di dalam fasa penjajahan dan peperangan. Apatah lagi jika pemerintahn itu hanyalah memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya. Apatah lagi apabila memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Apatah lagi pemerintahan tersebut adalah mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan beban hutang sebanyak USD 3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili anda semua di seluruh dunia.

Sehingga kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap pengangguran telah mencaai 31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin kehabisan. Baru-baru ini, tiga orang bayi telah meninggal di hospital di Gaza kerana ketiadaan ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak akan dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Hatta, persidangan parlimen (Majlis Legaslatif) kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.

Mengapa ini semua?, ianya adalah kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan juga EU. Tekanan yang dikenakan hanya semata-mata rakyat Palestin telah memilih calon yang mereka inginkan di dalam pilihanraya yang lalu. Tekanan yang dikenakan kerana kami enggan menurut ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD 55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin.Rejim Zionis telah mengambilnya dari kami dan tidak pernah dipaksa untuk memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang memaksa rejim Zionis untuk memulangkannya. Mereka juga telah menutup laluan udara, darat dan laut kepada tanah Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian gila dan bodoh yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua.

Kami yakin, saudara-saudara seislam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seaqidah kami akan dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seaqidah kami di seluruh dunia akan dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung kepada bantuan-bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi dari rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia. Kami mengharapkan agar anda mengepalai kempen untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel demi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk kepada tekanan. Kami telah memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang ke titisan darah terakhir kami. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah. Kami tidak akan sekali-kali tunduk kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya boleh bertahan selama enam bulan. Tiap-tiap hari, rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa agar kerajaan HAMAS tidak tunduk kepada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila?, perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan anda untuk melakukannya. Mahukah anda melihat kerajaan
HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?


Umat Islam di Malaysia sekelian,

Kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehinggalah setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam akan terus dijulang. Namun kami memerlukan sokongan dan bantuan anda.

Jikalau kami gugur syahid, dan anda sekelian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan kebisuan anda semua. Kai tidak akan memaafkannya.

Umat Islam di Malaysia,

Kami mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif. Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.

Kami juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang menjadi pengerusi OIC untuk melakukan sesuatu.

Kami juga berharap dari anda untuk melakukan kempen kesedaran, dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga inign melihat anda menjadi juara di peringkat antarabangsa di dalam kempen kesedaran ini.

Banjiri media anda dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut, andalah harapan kami.

Dan akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak melupakan kami di dalam doa-doa anda sekelian. Berdoalah agar kami thabat di dalam perjuangan. Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami. Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga, agar kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari nanti, di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...

Allah Akbar!!!

Saudaramu,
Khalil Ismail al-Haya
Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
Kuala Lumpur,
14 Mei 2006.

Tuesday, May 02, 2006

JAMAAH ITU KEPERLUAN, UMMAH ITU TUJUAN

Artikel yang baik dr ust hasrizal jamil bagi menjawab pemikiran ummah centric ustaz maszlee malik.

"SAYA kena sertai semua kumpulan. Kalau ikut satu sahaja, nanti jadi Jamaah Centric!", kata seorang siswa.

"Lebih baik aku bebas. Tak terikat dengan mana-mana kumpulan. Mana-mana ada kelas pengajian, aku akan pergi. Ini baru Ummah Centric", komen seorang pelajar pula.

Kebelakangan ini, isu Jamaah Centric Vs. Ummah Centric hangat diperbincangkan oleh masyarakat kita. Hal ini lebih ketara dilihat berlaku di kalangan masyarakat pelajar yang lebih dekat kepada sumber gagasan idea ini iaitu al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pelbagai bentuk maklum balas yang timbul, sama ada dalam bentuk perkataan dan tulisan, mahu pun tindak tanduk yang mencetuskan satu senario di kampus hari ini.

Di peringkat awal, saya mengambil lontaran idea ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan persetujuan, sekurang-kurangnya pada isi-isi utama yang diketengahkan melalui artikel di Majalah I. Pada saya, idea awal di bawah kerangka pemikiran Ummah Centric mempunyai tujuan yang harmoni iaitu ke arah keterbukaan pemikiran semua individu yang terlibat di dalam gerakan Islam untuk meraikan perbezaan pandangan sesama mereka, menuju kepada kepentingan makro iaitu maslahah Ummah sejagat. Saya boleh bersetuju di peringkat ini.

Akan tetapi, selepas menonton VCD ceramah Ustaz Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus, saya menjadi keliru dan penerimaan saya terhadap idea tersebut terganggu. Saya menontonnya buat kali yang kedua, dan keserabutan fikiran saya akibatnya, makin ketara. Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyusun cabang-cabang fikiran saya dan akhirnya, menulislah yang boleh menjadi cara terbaik untuk saya strukturkan kefahaman saya terhadap gagasan Ummah Centric yang dikemukakan oleh al-Fadhil ustaz.

Tambahan pula, Ustaz Maszlee bin Malik adalah rakan sepengajian saya. Kami saling mengenali semenjak 1993 dan saya menghormatinya sebagai seorang rakan yang ilmuan. Maka saya berusaha sedaya upaya untuk mengenengahkan analisa ini dengan tatasusila peribahasa Melayu kita, "seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak tumpah". Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini benar-benar dapat dibaca dengan bahasa dakwah dan diskusi ilmiah tanpa ada sebarang persepsi peribadi serta prejudis yang menyalahi kebenaran.

MERAIKAN PERBEZAAN

Keterbukaan kumpulan-kumpulan Islam untuk bertolak ansur terhadap perbezaan sesama mereka, adalah suatu tuntutan yang memang tidak dapat dinafikan. Ia menjadi kunci kepada sejauh mana mereka boleh memberi kesan yang berbekas di tengah masyarakat, dan sejauh mana masyarakat boleh memberikan kepercayaan untuk suara Islam memimpin arus perdana.

Saya percaya, keupayaan untuk bekerjasama di antara kumpulan-kumpulan Islam ini sudah pun terlaksana di peringkat pemimpin, malah menjadi pendekatan 'rasmi' bagi hubungan diplomatik antara kumpulan. Walau bagaimana pun, impian pemimpin untuk mewujudkan keharmonian antara kumpulan Islam di peringkat akar umbi, tidak semudah melakarkannya di atas kertas. Pergeseran berlaku dari semasa ke semasa, walaupun masing-masing sedar yang fenomena malang itu menjadi bahan ketawa golongan Islam liberal yang sinis.

Malah kadang-kadang kumpulan Islam ini menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Pandir yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai. Kumpulan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisma sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi munkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata mahu memenangkan ayam laga masing-masing.

Saya kira, mungkin inilah latar belakang kepada timbulnya idea Ummah Centric oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik. Beliau yang bertugas sebagai pensyarah universiti dan setiap harinya adalah bersama masyarakat kampus, tentu mahu melihat kepada penyelesaian fenomena yang merugikan ini. Saya suka untuk bersama dengan beliau di dalam niat yang murni itu.

Namun, tembakan peluru yang tidak menepati sasaran, akan hanya menghasilkan satu antara dua. Sama ada kita bazirkan peluru, atau paling malang, ada pihak lain yang tidak bersalah terbunuh akibat peluru sesat itu tadi. Ketika kita mahu merawat TAASUB ahli kumpulan kepada idea kumpulannya, yang tersinggung bukanlah SIKAP dan PEMIKIRAN TAASUB tersebut, tetapi konsep berkumpulan dan berJAMAAH itu yang menjadi mangsa peluru sesat berkenaan.

Lantas timbul idea Jamaah vs. Ummah. Apakah kepentingan Jamaah secara default bertentangan dengan kepentingan Ummah? Apakah yang boleh wujud hanyalah Ummah, manakala Jamaah pula menjadi batu penghalang kepada gagasan Ummah? Mengapa mesti Jamaah VERSUS Ummah? Mengapa tidak Jamaah DAN Ummah? Inilah yang cuba saya fikirkan, bahawa apakah ada kontra di antara kedua-duanya, lantas perlu memilih satu antara dua, atau saya perlu lari dari dua pilihan itu, dan sebaliknya berfikir di luar kotak?

Pertamanya, saya perlu memasang pasak, bahawa berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita.

Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya.

Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan 'hablun minannaas'. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.

Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia.

Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu 'perkumpulan' yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya.

Bukan sahaja di dalam hal ehwal agama, keperluan manusia kepada kumpulan juga merentasi semua itu, malah bagi sesiapa sahaja yang 'kenal' manusia, akan sampai kepada kesimpulan yang sama.

John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, EQUIPPING 101, bahawa, "one is too small a number to achieve greatness". Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto!

Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjamaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah.

Suatu kesilapan, seandainya ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanyalah menambah ilmu dan mengajak kepada kebaikan. Kita tidak hanya dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Amar makruf tidak mungkin dapat dipisahkan daripada nahi munkar. Para Rasul dan kita semua diperintah bukan sahaja mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, bahkan kita juga bertanggungjawab memastikan diri dan manusia lain terhindar daripada Taghut, iaitu segala sesuatu yang berlawanan dengan Allah, Tuhan yang al-Haq.

Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, sebagaimana Luqman memberikan tanggapan yang realistik kepada anaknya, ketika menjelaskan tentang kewajipan dakwah. Ia bukan senang sentiasa, malah sentiasa dicemburui dan ditentang oleh manusia lain.

Firman Allah SWT:

¢Ó o_ ç6 »t ƒ ÉO Ï% r& n o4 qn =¢ Á9 $# ö ã Bù &u r Å$ r㠍÷ èy Jø 9$ $Î / tm ÷R $# ur Ç `t ã ̍ s3 Zß Jø 9$ # ÷Ž É9 ô¹ $# ur 4 'n ?t ã !$ tB y 7t /$ |¹ r& ( ¨ bÎ ) y7 Ï9 ºs Œ ô` ÏB Ç P÷ "t ã Í' qã BW {$ # ÇÊ ÐÈ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah Solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

Realiti dakwah memang begitu.

Oleh kerana dakwah mempunyai tabiat yang sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjamaah. Mereka perlu merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjamaah. Dalam erti kata yang lain, keperluan dakwah kepada Jamaah bukan sahaja datang dari perintah Allah yang Maha Mengerti akan hakikat manusia yang diCiptakan-Nya, malah melakukan dakwah secara berjamaah adalah fitrah.

Jika sudah bosan membaca tentang faedah bekerja secara berjamaah dari buah fikiran sesama Muslim, mari kita renungkan kepada pandangan John C Maxwell yang cuba menjelaskan kepada 'jamaah'nya di gereja, ahli korporat di pejabat, malah ahli bagi sebuah keluarga, mengapa kita mesti berjamaah:

1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader's potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.

Tegasnya, di antara sudut kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia, terletak kepada kepatuhannya memelihara fitrah, bahawa manusia hidup berjamaah.

UMMAH CENTRIC VS. JAMAAH CENTRIC: PELURU YANG TERLEPAS SASAR

Ketika idea ini dikemukakan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik di melalui artikelnya di Majalah I, saya lihat hala tujunya menjurus kepada sasaran yang betul. Apa yang banyak ditegaskan melalui artikel itu adalah soal membetulkan pemikiran agar tidak terbelenggu oleh kepentingan Jamaah. Sebaliknya semua orang mesti sedar bahawa dirinya dan jamaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Maka keperluan dan kehendak Ummahlah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Dengan itu kita akan berhenti bergeseran sesama Jamaah, atas roh Ummah yang menjadi pegangan.

Akan tetapi, apabila idea tersebut dicanaikan melalui ceramah yang disampaikannya di kediaman al-Fadhil al-Akh Hafiz Firdaus, saya berubah pandangan. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat pelajar yang mendengar ceramah tersebut, dan saya menjadi keliru. Subjek yang menjadi sasaran dan kritik bukan lagi pada permasalahan SIKAP TAASUB setiap kumpulan terhadap kumpulan lain, tetapi kepada konsep berjamaah itu sendiri.

Mungkin al-Fadhil Maszlee tidak bermaksud demikian, tetapi kesan ceramahnya menyebabkan pelajar sinis dan memandang rendah kepada semua kumpulan Islam yang wujud di kampus malah di tengah masyarakat. Ketawa sinis penceramah dan peserta terhadap beberapa senario Jamaah, ternyata mengheret perkumpulan Islam untuk berasa amat tersinggung, seolah-olah Jamaah dan kumpulan Islam, adalah pelakon drama komedi yang lawaknya lucu tetapi menyusahkan orang ramai.

Saya kira, isteri dan anak-anak kepada tahanan ISA, keluarga pendakwah yang terbunuh di Memali malah al-Syahid Sayyid Qutb yang hilang nyawa di tali gantung, terpaksa menempuh segala kesusahan hidup itu akan amat terguris hati mereka kerana impression yang terhasil dari ceramah tersebut ialah, pengorbanan selama ini, hanyalah bagi menjayakan drama lucu Jamaah Centric mereka!

Saya teringat kepada kisah seorang artis Hollywood yang terpilih untuk menjadi pengacara sebuah program anugerah. Lawak jenakanya sangat menghiburkan dan dia telah berjaya menghidupkan program tersebut sehingga beroleh pelbagai komen positif media dan rakan. Tetapi apabila beliau bertanyakan pandangan ayahnya, beliau menjawab, "YOU HURT TOO MANY PEOPLE!". Ya, lawak yang sinis selalunya menghiris.

Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima'), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah SAW. Ia bukan idea-idea budak kampus. Namun, kelakuan-kelakuan mikro oleh pelajar di kampus, menjadi bahan sanggahan konsep Amal Jama'ie yang makro. Kerana mahu menyindir anak kecil di padang, ibu di rumah turut terkena.

Perbalahan antara perkumpulan Islam bukanlah berpunca daripada konsep Amal Jama'ie. Ia adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.

Sepatutnya Ummah Centric dan Jamaah Centric memfokuskan pembetulan mereka kepada persoalan SIKAP itu tadi. SIKAP yang ada pada semua kumpulan Islam, dan bukannya menyalahkan Jamaah. Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.

SIKAP dan CARA BERFIKIR yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja mencetuskan pelbagai masalah di kalangan pendukung gerakan Islam, malah ia mencakupi seluruh aspek kehidupan kita termasuklah kepada persoalan berMAZHAB. Mungkin artikel PAKSI ISLAM: SYAKHSIAH ATAU HUJAH? yang pernah saya tulis, boleh menjelaskan secara panjang lebar tentang hal ini.

Jika SIKAP dan CARA BERFIKIR yang berpenyakit itu tidak diperbetulkan, ia hanya mengundang kepada bercambahnya masalah asal yang ingin dihapuskan.

Misalnya, isu MAZHAB. Kita cuba merawat penyakit Taasub kepada Mazhab yang banyak menimbulkan masalah kepada Ummah. Tetapi yang kita perbetulkan adalah maklumat tentang mazhab, dan bukannya SIKAP. Lantas, daripada sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam al-Syafi'e, timbul pula sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam Ibn Taimiyah. Daripada wujud hanya satu kumpulan manusia taasub, muncul pula dua kumpulan manusia taasub yang berlaga sesama sendiri.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Pada kiraan saya, masalah bukan terletak pada MAZHAB, sebaliknya pada SIKAP dan CARA BERFIKIR yang salah. Mereka yang meninggalkan mazhab, beralih kepada al-Imam Ibn Taimiyah dengan membawa gerabak SIKAP yang sama. Taasub lawan Taasub, Islam Liberal juga yang akhirnya tersenyum gembira!

Apabila al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik mengolah ceramah Ummah Centricnya seperti yang saya tonton melalui VCD tersebut, ia menjatuhkan maruah semua kumpulan Islam yang ada. Akibatnya, masyarakat pelajar akan lari daripada semua kumpulan Islam tersebut, dan berkumpul mengelilingi Ustaz Maszlee. Mereka lari dari semua Jamaah untuk berkumpul membentuk 'Jamaah' baru. Walaupun kumpulan bebas-jamaah ini tiada nama, namun watak dan cara berfikir mereka akan membuat pusingan yang sama iaitu taasub menolak Jamaah-jamaah lain, sehingga tanpa disedari membentuk satu kumpulan yang tidak berjamaah secara taasub. Maka daripada tiga, empat atau lima pergeseran, bertambah pula menjadi enam pergeseran.

Mengapa semua itu terjadi? Puncanya terletak pada peluru yang hilang sasar. Ummah itu rumah, Jamaah itu kelambu, sedangkan yang mengganggu ahli rumah tersebut adalah nyamuk. Maka nyamuklah yang sepatutnya dibanteras.

Nyamuk yang mengganggu Ummah adalah SIKAP NEGATIF dan CARA BERFIKIR yang salah.

Ada nyamuk jamaah yang menyalahgunakan nas untuk membuat justifikasi terhadap kebenaran jamaahnya. Namun, bukan Jamaah yang salah, bukan nas yang lemah, tetapi nyamuk yang buat perangai. Dr Izzat Khalil al-Azizi ketika memberikan nasihatnya kepada gerakan-gerakan Islam melalui buku Nasaa'ih wa Taujihaat al-Mufakkireen wa Ulama' a-Islaam li al-Jamaa'aat wa al-Ahzaab al-Islaamiyyah terbitan al-Maktabah al-Islaamiyyah, Jordan, telah mengambil pendekatan yang realistik.

Beliau menyeru kepada semua gerakan Islam agar berSIKAP terbuka (infitaah) terhadap sesama gerakan Islam dan tidak menyempitkan pemahaman Jamaah di dalam nas Hadith sebagai merujuk kepada Jamaah masing-masing. Hal ini juga selaras dengan seruan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan, yang sebahagiannya adalah saya dan al-Fadhil Maszlee Malik sendiri.

SIKAP yang sepatutnya diperbetulkan, dan bukannya konsep Jamaah.

Ada nyamuk jamaah yang tidak memanipulasi nas, sebaliknya mencubit gigit rakan-rakan gerakan Islamnya yang lain, lebih dari gigitannya terhadap musuh sebenar. Entiti diri sebagai sebuah NGO dan badan berdaftar sepatutnya menjadi pendekatan yang mengkayakan pengalaman sesama gerakan Islam, dan bukannya menjadi hujah untuk menyindir rakan yang 'ditolak pendaftarannya' kerana sering derita menanggung risiko dakwah.

"Itulah engkau, buat lagi kerja macam tu, kan dah kena tindakan. Tengok aku, aku join NGO, dakwah dapat buat, risiko tak dapat. Baru selamat!", ujar ahli NGO kepada sebuah kumpulan yang tiada nombor pendaftaran.

Semua ini adalah sikap-sikap yang sepatutnya menjadi sasaran pembetulan oleh gagasan 'Ummah Centric vs. Jamaah Centric'.

Kumpulan-kumpulan Islam di kampus sewajarnya mengajak sokongan melalui pembuktian upaya dirinya, berbanding sandaran terhadap kelemahan kumpulan lain. Sikap yang lebih pro aktif, sihat dan meletakkan mesej Islam sebagai keutamaan adalah jaminan kepada keharmonian kumpulan mikro manusia sebagai Jamaah, dan kumpulan makro manusia sebagai Ummah.

Lebih menghairankan saya ialah apabila Ummah Centric dituduh sebagai cetusan fahaman Wahhabiyyah, manakala Jamaah Centric dikaitkan dengan pengaruh kesufian. Aduh, apa kena mengenanya Muhammad bin Abdul Wahhab dan jalan sufi itu dengan KANSER SIKAP kita?

Saya masih ingat kepada satu siri talk show yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey. Isu kali itu adalah tentang Racism. Menariknya ialah, ramai Black American meletakkan mind setting mereka bahawa jika mereka tidak mendapat pekerjaan atau mengalami kegagalan tertentu, maka puncanya adalah kerana mereka Black! Walhal mereka memang tidak layak untuk jawatan tersebut.

Ada juga orang Islam di Eropah yang menganggap bahawa mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana Islamnya mereka. Sedangkan mereka sendiri yang hidup berkelompok dan enggan berinteraksi dengan persekitaran.

Nasib kita macam ini sebab kita bumiputera. Pada hal kita yang malas berusaha.

Dia itu Ummah Centric, sebab dia Wahabi.

Yang ini pula Jamaah Centric, sebab dia Sufi.

Saya hampir lumpuh kewarasan diri akibat karenah pemikiran yang seperti ini!

Berjamaahlah, kecemerlangan itu kuncinya pada berjamaah. Simenkan satu Jamaah dengan satu jamaah yang lain dengan simen ukhuwwah dan pemikiran yang God-Centered. Hasil gabungan semua itulah nanti yang akan membentuk Ummah.

Kuncinya adalah pada meletakkan ALLAH sebagai matlamat. Tanpa God-Centered, sama ada kita akan menjadi self-centered, atau larut sebagai social-centered.

Jamaah itu keperluan, Ummah itu tujuan. Mestikah ada pertembungan?

÷b r& (# qã KŠ Ï% r& t ûï Ïe $! $# Ÿ wu r (# qè %§ x ÿt Gs ? Ïm ŠÏ ù 4
"Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya" [al-Quran 42: 13]