Friday, October 20, 2006

Ramadhan dan kemenangan umat Islam

Ketika kita menunaikan ibadat puasa bagi melatih diri kita menjadi orang yang bertaqwa dan meningkatkan taqwa yang telah ada dalam diri kita, marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa kemenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam di zaman silam, peristiwa yang penuh pengajaran dan pengiktibaran.Di bulan Ramadhan, umat Islam mencapai kemenangan dalam peperangan Badar. Di bulan Ramadhan umat Islam mencapai kemenangan membuka Mekah. Di bulan Ramadhan umat Islam mencapai kemenangan di Ain Jalut, mengalahkan bangsa yang ganas dalam sejarah manusia.

Adapun peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadhan, hari Jumaat, tahun yang kedua hijrah ketika umat Islam pertama-tama menerima kewajipan berpuasa. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar bersama dengan para sahabatnya, dengan pasukan yang kecil berjumlah hanya 313 orang, dengan kelengkapan yang tidak cukup dan persediaan yang tidak lengkap.

Tiba-tiba mereka terserempak dengan bala tentera musyrikin Mekah yang jumlahnya 1,000 orang, lebih besar daripada jumlah umat Islam. Kaum musyrikin yang lengkap dengan senjata, keluar dengan semangat yang berkobar-kobar tetapi dua kumpulan ini walaupun dari satu bangsa, dari keluarga yang satu, dua kumpulan ini dari Mekah dan dari Madinah, dari dua tanah suci umat Islam tetapi mempunyai dasar yang berbeza, mempunyai matlamat yang berbeza.

Allah menyifatkan peristiwa yang berlaku itu dengan yaumal furqan wa yaumal taqal jam’an (Surah Al-Anfal: 41) hari bertemunya dua kumpulan, bertemunya dua pasukan yang berbeza di antara satu sama lain, walaupun dari bumi yang satu, bumi Mekah, dari satu bangsa dan satu keluarga yang terlalu hampir di antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w. sebelum peristiwa Badar bermunajat kepada Allah SWT, mengadu dengan hati khusyuk (maksudnya): Ya Allah! Ya Tuhanku! Sekiranya binasalah pasukan yang kecil ini nescaya Engkau tidak disembah lagi. Tidak disebut kalau kami kalah, maka anak isteri kami akan jadi tawanan, kami akan dibunuh, harta kami akan dirampas, tanah air kami akan dijajah tetapi disebut la tu’bad (Engkau tidak disembah lagi wahai Tuhan). Matlamatnya ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Berbeza dengan Abu Jahal yang memimpin pasukan musyrikin dari Mekah juga berdoa kepada Allah (bermaksud): Ya Allah, Ya Tuhanku, inilah orang yang memutuskan silaturahim di kalangan keluarga, yang memecah belahkan anak-beranak, yang membawa ajaran sesat, binasalah dia di pagi ini.

Abu Jahal yang tidak pemalu dan tidak rasa malu, menyembah berhala berselindung di sebalik menghubungkan silaturahim menuduh Nabi Muhammad s.a.w. dan orang-orang yang beriman dengan sesat, menuduh Nabi Muhammad s.a.w. memutuskan silaturahim, lupa telah melakukan kesalahan yang besar, meninggalkan perkara nombor satu dalam kehidupan manusia iaitulah mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, menolak syirik, menolak tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, menolak cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah, menolak yang lain daripada petunjuk al-Quranul karim.

Inilah perbezaan antara dua kumpulan dari satu bangsa, satu keturunan, dari bumi Mekah, yang berbeza ialah Islam dan meninggalkan Islam. Dalam masa yang sama Allah SWT membuktikan 313 ahli Badar itu sebenarnya orang yang beriman, yang tahan uji, yang menjadi contoh kepada umat Muhammad s.a.w.

Apabila Rasulullah s.a.w memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Madinah ataupun menghadapi musuh yang lebih besar ini, tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjawab, ucapan yang lahir dari iman yang benar di dalam hati.

Ucapan Al-Miqdad al-Aswad r.a. (maksudnya): Wahai Rasulullah, kami tidak akan berkata kepada Rasulullah sebagaimana orang-orang Yahudi Bani Israil berkata kepada Nabi Musa. Wahai Musa pergilah kamu bersama dengan Tuhan kamu. Kami mahu duduk di sini. Tetapi wahai Rasulullah, kami berkata kepada Rasulullah pergilah berjuang wahai Rasulullah bersama dengan Tuhan kamu, kami bersama dengan Allah dan rasul.

Ucapan umat Muhammad s.a.w. yang berbeza dengan ucapan kaum Bani Israil. Kaum Bani Israil dikurniakan mukjizat yang luar biasa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Mukjizat tongkat Nabi Musa a.s. Apabila dicampak menjadi ular besar. Apabila Nabi Musa memukul dengan tongkatnya akan Laut Merah, tiba-tiba terbelah, menjadi lorong-lorong yang dilalui oleh 12 kabilah Bani Israil. Laut yang berair itu memuncak menjadi gunung dan di celah-celahnya 12 lorong yang luas dilalui oleh Bani Israil. Mereka menyeberangi laut dengan selamat. Allah menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di hadapan mata mereka. Mukjizat yang dapat dilihat dengan mata.

Tetapi apabila Allah nak menguji mereka supaya mengikut Nabi Musa a.s. masuk ke bumi Palestin bagi membebaskan bumi Palestin daripada kaum Jabbarin dengan jihad, bukan dengan mukjizat, tiba-tiba Bani Israil menolak, meninggalkan kewajipan jihad. Allah menyesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun. Nabi Musa dan Harun diwafatkan dalam keadaan yang sedih dan berdukacita.

Allah mengisahkan di dalam al-Quran (yang bermaksud): Dan apabila Nabi Musa berkata kepada kaumnya, wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku padahal kamu tahu bahawa aku adalah rasulullah yang diutuskan kepada kamu. Maka tatkala mereka memesong, Allah memesongkan hati-hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (Surah As-Saff: 5) Adapun umat Muhammad s.a.w. yang terdiri dari kalangan ahli Badar, mereka hanya membaca mukjizat ilmu, mukjizat al-Quranul karim yang diturunkan di bulan Ramadhan.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling betul. (Surah Al-Isra’: 9) Mereka beriman dengan kitab yang dibaca, mukjizat ilmu yang dikurniakan oleh Allah. Dengan keyakinan kepada Allah, keyakinan kepada Nabi Muhammad s.a.w., keyakinan kepada al-Quranul karim yang menjadi pemandu dan penunjuk, mereka berjuang di Hari Badar.

Allah SWT mengurniakan kemenangan yang diabadikan di dalam al-Quranul Karim (maksudnya): Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu pada hari peperangan Badar dalam keadaan kamu dipandang hina lagi lemah, maka bertaqwalah kepada Allah supaya kamu menjadi orang-orang yang bersyukur kepada-Nya. (Surah Ali Imran: 123)

Allah SWT berfirman khusus kepada mereka yang hadir di kalangan orang-orang yang beriman yang dinamakan ahli Badar radiallahuanhum. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai ahli Badar beramallah kamu apa yang kamu mahu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa-dosa kamu. (Hadis qudsi)

Itulah peristiwa Badar.

Adapun peristiwa pembukaan Mekah yang berlaku juga di bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. mengerahkan bala tentera untuk menawan Mekah. Apabila Mekah yang dipimpin oleh Abu Sufian, bukan orang lain, ayah mertua Rasulullah s.a.w. yang bekeluarga Rasulullah s.a.w. tetapi mempertahankan jahiliah. Pemimpin yang melanggar Perjanjian Hudaibiyah menyebabkan Allah membuka ruang bagi orang-orang yang beriman untuk menawan Mekah. Maka berlakulah penawanan yang tidak ada pertempuran apabila penduduk Mekah yang kafir menyerah diri kepada Allah dan rasul-Nya dan mereka menjadi orang-orang Islam.

Peristiwa yang diabadikan oleh Allah SWT (maksudnya): Apabila datangnya pertolongan Allah dan pembukaan. Dan engkau melihat manusia berduyun-duyun masuk ke dalam agama Allah. Maka ucap tasbihlah dengan memuji memuja Tuhanmu dan beristighfarlah kepada-Nya, sesungguhnya Dia Tuhan yang maha menerima taubat. (Surah An-Nasr: 1-3)

Mekah telah dimerdekakan pada bulan Ramadhan. Dimerdekakan daripada dijajah apa? Penjajah asing? Bukan penjajah asing. Bukan penjajah Inggeris. Bukan penjajah Belanda. Bukan penjajah Perancis tetapi penjajah Arab. Arab Mekah, keluarga Rasulullah s.a.w. Tetapi mereka menganut ajaran jahiliah. Manusia wajib dimerdekakan daripada jahiliah. Maka Mekah dimerdekakan daripada jahiliah. Itulah makna Fathul Makkah yang berlaku di bulan Ramadhan.

Adapun peristiwa Ain Jalut, apabila golongan Tatar yang ganas keluar dari Asia Tengah laksana air banjir, laksana api besar yang membakar. Tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka. Mereka mara dengan tentera yang gagah, berani dan ganas sehingga mereka menawan Baghdad, pusat Kerajaan Abbasiyah, pusat Kerajaan Islam yang memerintah pada masa itu.

Tentera Tartar masuk ke Baghdad dengan ganas, lebih ganas daripada tentera Bersekutu yang menakluk Iraq pada hari ini. Dikatakan mereka membunuh seramai 4 juta manusia, dikatakan bau mayat dapat dihilangkan dalam masa empat tahun. Baghdad menjadi kolam darah. Kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dipunggah, dibakar hangus. Ada yang dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dijlah.

Mereka merosakkan Baghdad, merosakkan ilmu tetapi Allah SWT memelihara ilmu Islam. Ilmu Islam bukan sahaja disimpan di dalam kitab, ilmu Islam juga disimpan di dalam dada para pengamal yang menghafal dan memeliharanya. Ilmu Islam tidak boleh dimatikan. Ia dijamin oleh Allah SWT.

Golongan Tartar telah memaksa umat Islam apabila mereka menggubal perlembagaan yang dinamakan Yasak. Perlembagaan yang diambil daripada Islam, Yahudi, Kristian dan akal fikiran mereka sendiri. Islam diambil juga untuk menipu umat Islam zaman itu. Nama Islamnya ada juga tetapi campur aduk dengan ajaran yang karut marut. Ajaran yang sesat, yang menyesatkan. Umat Islam dipaksa supaya menerima ajaran Yasak itu. Kalau tidak menerimanya, dibunuh, dipancung, dicincang. Tentera Tartar mara ke depan untuk menakluk Syam, Mesir.

Apabila mereka sampai di Palestin, di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam yang menentang mereka telah melakukan satu karamah, telah melakukan satu mukjizat sebagaimana yang dijanjikan oleh al-Quran (maksudnya): Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu. (Surah Muhammad: 7)

Dengan slogan Wa Islama, wahai Islam tersayang, Islam yang disayangi, Islam yang dicintai, dalam keadaan bahaya, selamatkan Islam. Itulah slogan yang diucapkan, wa Islama. Dengan slogan ini, mereka bangkit, mereka menentang kaum Tartar yang dikatakan di zaman itu mustahil dapat mengalahkan kaum Tatar. Tidak ada mustahil dalam maksud ini, yang wajib hanya Allah SWT. Allah Yang Maha Berkuasa, bukan yang lain berkuasa, Allah, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya, Yang Maha Perkasa. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam pada Hari Ain Jalut yang berlaku pada bulan Ramadhan.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini, ketika menunaikan ibadat puasa dengan menyedari umat Islam hari ini sedang dijajah. Ada tanah air mereka yang dijajah, belum dibebaskan. Tanah air umat Islam yang dibelenggu. Umat Islam hari ini dizalimi dan dianiaya, dibunuh di mana-mana, di Palestin, Iraq, Thailand, Kashmir, Filipina. Dalam keadaan mereka dicincang, diperlakukan oleh musuh.

Dalam masa yang sama, pemikiran umat Islam dijajah oleh perlembagaan dan undang-undang yang sama seperti Yasak yang dibawa oleh Tartar. Perlembagaan yang dicampur Islam dengan bukan Islam. Tetapi umat Islam di masa itu kuat berpegang dengan Islam. Mereka bangkit dengan semangat Islam dengan cinta dan kasih kepada Islam, dengan iman dan aqidah yang kuat.

Marilah kita mengambil pengajaran daripada mereka. Sesungguhnya kita tidak akan mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak menjulang tinggi Islam. Kemuliaan kita hanya bersama dengan Islam sebagaimana yang diucapkan oleh Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khatab r.a. (maksudnya): Kita adalah umat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Hari ini umat Islam mencari kemuliaan dengan duit, pangkat, harta benda, kemewahan dan kesenangan. Mereka tidak menggunakan nikmat untuk meninggikan agama Allah tetapi mereka menjadikan nikmat itu sebagai matlamat hidup mereka. Oleh kerana itu mereka ditimpa kehinaan.

Marilah kita bertaubat kepada Allah, beristighfar dan kembali agama Allah yang memuliakan kita.

Fiman Allah yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Allah pasti menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah bumi, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mereka mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan. (Surah Al-Haj: 40-41)


Abdul Hadi Awang Muhammad

1 comment:

asmasalleh said...

Selamat Hari Raya..
Maaf Zahir Batin..

0-0 ekkk..