Monday, July 16, 2007

Semua bertanggungjawab

seperti biasa, di malasyia, all but I bertanggungjawab.
kalau salah, semua org lain. kalau betul, semua diri sendiri.
kenapa menteri belia dan sukan tidak bertanggungjawab sama?

Semua bertanggungjawab

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said berkata, prestasi buruk skuad bola sepak negara dalam Piala Asia sepatutnya dipikul oleh semua pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan naungannya dan bukan hanya Tengku Abdullah yang meletak jawatan semalam.

Katanya, bukan Timbalan Presiden FAM itu sahaja yang seharusnya menanggung tanggungjawab terhadap kemalapan sukan bola sepak negara tetapi ia sepatutnya dipikul oleh semua pihak yang terlibat dengan badan yang menguruskan bola sepak.

“Adalah menyedihkan kerana begini akhirnya yang berlaku kerana bukan hanya Tengku Abdullah seorang yang bertanggungjawab terhadap jatuh bangun bola sepak negara dan kekalahan dalam Piala Asia. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Kehilangan

“Kita kehilangan seorang pemimpin sukan yang berkebolehan tetapi saya percaya Tengku Abdullah telah membuat keputusan ini setelah berfikir semasak-masaknya.

“Saya harap penggerak bola sepak akan mendapat kesedaran dan melakukan sesuatu yang positif daripada keseluruhan episod duka ini,” kata Azalina.

Tengku Abdullah melepaskan kesemua jawatannya dalam FAM menerusi sepucuk surat semalam tanpa memberikan alasan.

Bagaimanapun Tengku Abdullah diketahui hampa dengan prestasi skuad negara yang menjadi budak belasahan dalam Piala Asia. Malaysia kalah 5-1 kepada China pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Selasa lepas dan kelmarin kalah 5-0 kepada Uzbekistan.

Mengulas perkara yang sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata tindakan Tengku Abdullah itu tidak bermakna masalah bola sepak negara ini telah selesai.

“Kita kena tengok secara keseluruhan konsep pembangunan bola sepak kita... sehingga ke akar umbi. Walau siapapun yang mengisi tempat itu selepas ini perlu melihat kepada program pembangunan,” katanya.

“Tindakan Tengku Abdullah ini bukan jalan penyelesaian, tetapi saya tabik kepadanya kerana sanggup memikul tanggungjawab ini,” kata Zolkples.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Paduka Basri Akil yang sering lantang mengkritik badan induk bola sepak negara itu, berkata: “Saya menghormati tindakan beliau... saya menganggapnya sebagai satu pengorbanan.

“Agak mengejutkan kerana tindakan ini dilakukan lebih cepat daripada keputusan awalnya sebelum ini yang mahu melepaskan jawatan pada kongres FAM tidak lama lagi.

“Tengku Abdullah telah berusaha dan berkorban selama 20 tahun pengorbanan untuk menaikkan martabat bola sepak Malaysia tetapi tidak tercapai dan sekarang telah memberi laluan kepada pihak lain.

“Saya harap akan timbul kesedaran terhadap keputusan Tengku Abdullah ini.”

Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin pula terkejut dengan keputusan Tengku Abdullah itu.

“Saya tak sangka tindakan ini akan berlaku dan kami (Ahli Majlis FAM) tidak diberitahu,” katanya.

No comments: