Wednesday, January 24, 2007

merokok dan hukumnya menurut pandangan

Soalan:

Apakah pandangan ustaz tentang merokok dan hukumnya menurut pandangan
Islam, saya ada mendengar ada ustaz-ustaz yang mengatakan terdapatnya
ulama silam yang hanya menghukumnya sebagai makruh dan tidak haram, adakah
ia benar?

Jawapan :

Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah
kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat
kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang
bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.

Adapun dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan
dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing
terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam
hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam
halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain
ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan
kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan
maklumat lengkap dari para doktor perubatan atau pakar kimia adalah kurang
tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia
seperti berikut :-

1) Haram : Ulama kontemporari yang mengatakan demikain adalah Dar Al-Ifta
Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, Seluruh ahli persidangan
Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof
Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad
Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar
al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd
Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah.

Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh Muhd Alauddin haskafi
al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa
ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm
as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia,
1988, hlm 25-26)

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang
menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah
seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun (
seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan
lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur,
At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur
as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )

Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk
rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika
mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya
di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia
juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk
Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal 'Ilmi al-Jadid, 1/346 )

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk
kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT " Maka
hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ;
Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan
oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan
kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak
dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya : " Tiada boleh
memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar
Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim
kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama
lain sehingga naik ke darjat Sohih)

Hadith lain pula menyebut : " Sesiapa yang memakan dari pokok ini ,
berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid
kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia
menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim,
Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )

2) Kumpulan yang Memfatwakan Harus atau Melihat secara tafsil (terperinci)

Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd
Amin Ibn 'Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara
terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah
halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka
adalah lemah kerana ia bersandarkan pandagan mereka tanpa maklumat
berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka
memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan
menggangu, justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu
menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil
kira maklumat baru perubatan.

Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram
merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri,
orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam
menyebut : "Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ; ertinya : "Kemudaratan
hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil 'Am,
Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)

Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667)
menjelaskan hukumnya berkata ( dengan pindaan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat
rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan
uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan
tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina,
mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di
sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil
rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu
diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar
apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan.

Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum
merokok, dan makruh bagi sesiapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk
keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan
aktiviti buruk ini mesti dicari segera.

Wallahu a'lam.

Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

No comments: