Wednesday, October 04, 2006

Hakikat Sebenar Pilihanraya Kampus

Hakikat Sebenar Pilihanraya Kampus PDF
Wed | Oct 04, 06 | 12:25:53 PM
Oleh Abdullah Abdul Karim

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Hampir semua akhbar harian utama melaporkan secara besar-besaran liputan terhadap Pilihan raya atau pun Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam Sesi 2006/2007 yang diadakan serentak di seluruh negara pada 21hb September yang lalu.

Apa yang menariknya, akhbar-akhbar tersebut di dalam laporan mereka memperbesarkan apa yang dikatakan sebagai kemenangan besar kumpulan proaspirasi kerajaan yang menguasai kesemua MPP di 22 IPTA, kecuali di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dengan menewaskan kumpulan propembangkang yang didalangi oleh parti-parti pembangkang di luar kampus.

Sebuah akhbar harian utama berbahasa Melayu yang sejak sekian lama menjadi 'spin doctor' kepada pemerintah tambah mensensasikan laporannya dengan menyimpulkan bahawa dengan kemenangan kumpulan aspirasi tersebut menandakan "berkuburnya populariti kumpulan pelajar propembangkang yang mana hampir 20 tahun mendominasi kerusi MPP di beberapa IPTA".

Naib-Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor HEP IPTA yang ditemubual juga kelihatan melahirkan rasa amat gembira di atas perkembangan tersebut yang disifatkan sebagai tanda kematangan para pelajar selain perjalanan pilihan raya yang dikatakan berjalan dengan lancar dan adil.

Yang paling gembira dengan keputusan tersebut tentulah tidak lain dan tidak bukan, Menteri Pengajian Tinggi, Dato Mustapa Mohamed yang baru dilantik beberapa bulan lepas menggantikan Dato Dr Shafie Mohd Salleh, dan sudah tentu dengan perkembangan ini kan menaikkan lagi imejnya di dalam Umno selepas tewas dalam cubaannya untuk merebut salah satu kerusi Naib Presiden Umno dalam Pemilihan Umno 2005.

Kredibiliti Perdana Menteri menjunam

Begitu juga dengan majoriti pemimpian Umno/BN yang sudah tentu begitu lega dengan kemenangan kumpulan Aspirasi tersebut. Apatah lagi disaat kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin menjunam kredibilitinya di mata rakyat hasil daripada pelbagai masalah yang melanda negara termasuklah pergeseran dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Keputusan Pilihanraya MPP kali ini setidaknya memberikan nafas politik baru kepada kerajaan Umno/BN dengan mendakwa bahawa generasi muda menyokong sepenuhnya kerajaan Umno/BN.

Selaku bekas pemimpin pelajar IPTA yang pernah memimpin MPP beberapa tahun yang lepas, penulis dihujani dengan pelbagai pertanyaan dari pelbagai kalangan yang inginkan pengesahan dan juga komen penulis berkaitan dengan keputusan pilihan raya tersebut.

Hasil keputusan pilihan raya kampus kali ini menimbulkan beberapa persoalan besar antaranya, apakah benar kumpulan ataupun parti-parti pelajar proIslam yang menguasai Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam (PMI) seperti parti NADI di Universiti Malaya dan juga parti Islam Penyelamat Ummah (IPU) yang pernah diterajui penulis semasa di UKM sudah kehilangan pengaruh dan ditolak oleh para mahasiswa?

Apakah juga kumpulan pelajar bukan Melayu yang progresif dan dinamik seperti Gabungan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (DEMA) yang biasanya membentuk kerjasama politik dengan pelajar proIslam juga sudah lemah dan tidak lagi berjaya menarik sokongan pelajar ?

Pilihanraya kampus adil, bersih dan saksama ?

Bagi mereka yang tidak mendalam pengetahuannya tentang situasi sebenar politik kampus ataupun hanya mengikutinya berdasarkan laporan akhbar-akhbnar mainstream, sudah tentulah akan dengan segera mengiyakan persoalan-persoalan di atas dan akan segera membuat kesimpulan bahawa kumpulan pelajar proaspirasi kerajaan telah pun menguasai secara mutlak sokongan pelajar.

Namun, bagi yang sedar dan prihatin, sudah tentulah tidak akan menerima begitu sahaja. Keputusan pilihan raya MPP tahun ini perlu dilihat di dalam banyak konteks. Bahkan persoalan yang lebih asas perlu ditanyakan, apakah benar pilihan raya kampus tahun ini dan juga beberapa tahun kebelakangan ini dijalankan secara yang adil, bersih dan saksama ?

Sebagaimana yang kita maklumi, sejak sekian lama pilihan raya kampus terutamanya di kampus-kampus utama di Lembah Kelang sentiasa menarik perhatian ramai dan dianggap sebagai medan pertandingan proksi di antara kumpulan pelajar prokerajaan dan juga propembangkang meskipun acap kali dinafikan. Kemenangan mana-mana kumpulan akan segera ditafsir sebagai kemenangan kepada parti induk di luar sama ada PAS atau pun Umno.

Manakala kumpulan pelajar Cina dan India pula lebih selesa mengamalkan pendekatan politik berkerjasama dengan mana-mana kumpulan berdasarkan suasana dan isu. Sejak dari awal tahun 80an hingga pertengahan 90an,pengaruh di antara kedua kumpulan adalah seimbang di mana kedua-duanya bersilih ganti menguasai tampuk kepimpinan MPP.

Pertarungan Umno dan PAS

Namun, seperkara yang menarik sebenarnya, meskipun umum menyaksikan pertarungan ini sebagai mewakili parti induk di luar, ianya tidaklah boleh secara mutlak diandaikan sebagai pertarungan sebenar di antara parti pemerintah dan pembangkang khususnya Umno dan PAS kerana tokoh-tokoh pemimpin pelajar yang bergiat di kampus ini tidak semestinya menyertai parti yang diandaikan.

Sebagai contoh, agak ramai juga pemimpin pelajar yang menganggotai kumpulan propembangkang akhirnya menyertai Umno apabila tamat pengajian dan begitu juga sebaliknya.

Mungkin juga wujudnya kumpulan prokerajaan dan propembangkang hanyalah diperbesarkan dengan sebab label, sedangkan realiti sebenar tidaklah begitu. Meskipun kedua belah pihak biasa mengalami kemenangan dan kekalahan, namun proses pilihan raya pada masa itu berjalan dengan tenang dan tidak ada sebarang insiden yang boleh menjejaskan kredibiliti pilihan raya tersebut dan tidak timbul tuduhan sama ada wujudnya unsur penyelewengan dan berat sebelah di dalam pilihan raya kampus waktu itu.

Selepas lebih sedekad menyaksikan pertarungan sengit di antara kedua kumpulan, politik kampus selepas tahun 90an menyaksikan perkembangan baru dengan penguasaan mutlak pelajar proIslam di hampir kesemua IPTA bermula dari Sesi 1995/1996. Kemenangan yang diperolehi bukanlah kemenangan marginal, tetapi kemenangan besar.

Di saat ini kerajaan Umno/BN tidaklah memberi perhatian sangat terhadap perubahan ini. Pilihan raya dijalankan dengan telus dan pentadbir universiti sendiri meskipun lebih cenderung untuk memihak kepada kumpulan pelajar prokerajaan, tidaklah bertindak keterlaluan di dalam menyatakan sokongan mereka.

Krisis pemecatan Anwar Ibrahim

Tidak hairanlah apabila meletus krisis politik pada tahun 1998 hasil pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan majoriti besar generasi muda terutamanya pelajar universiti tidak teragak-agak untuk menyatakan simpati dan sokongan mereka terhadap Anwar dan parti-parti pembangkang.

Meskipun mungkin segala bentuk penyelewengan dan kezaliman kerajaan Umno/BN dapat diselindungkan dari kalangan rakyat luar bandar yang mudah tertipu dengan propaganda murahan, tetapi bagi golongan muda dan pelajar-pelajar di kampus, ianya ibarat api di dalam sekam.

Kampus-kampus universiti tidak bermasalah untuk membekalkan pelajar yang kritikal terhadap kerajaan disebakan ia telah sekian lama menjadi medan yang subur kepada perkembangan kumpulan anti establishment.

Pilihan raya Umum 1999 dilihat sebagai 'turning point' utama yang menyebabkan kerajaan Umno/BN mula memikirkan secara serius untuk membunuh terus sebarang potensi suara kritikal yang ada pada generasi muda di kampus. Pilihan raya Umum ke 10 tersebut menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, generasi muda Melayu yang berpendidikan menolak Umno/BN.

Mujurlah lebih kurang 650,000 orang pengundi muda yang baru mendaftar sebagai pemilih, dinafikan hak mereka untuk mengundi di dalam pilihan raya tersebut. Jika tidak, bertambah parahlah kekalahan yang dialami oleh Umno/BN terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Umno / BN semakin berkubur

Selepas Pilihan raya Umum 1999, pengaruh kumpulan nasionalis pro-Umno/BN semakin berkubur dan mereka kalah teruk di dalam pilihan raya kampus yang dijalankan pada waktu itu.

Penulis pertama kali bertanding di dalam pilihan raya kampus pada sesi 2000/2001 di UKM dan pada pilihan raya tersebut, parti pro-Umno/BN yang dikenali sebagai Tindakan Siswa Bersatu (TSB) telah gagal memperolehi sebarang kerusi dan kumpulan Islam Penyelamat Ummah (IPU) yang turut mendapat sokongan dari kumpulan pelajar Cina dan India di samping kumpulan pelajar pro-ABIM dan JIM, telah menyapu bersih kesemua 48 kerusi yang dipertandingkan bagi meneruskan kemenangan kali keenam berturut-turut.

Keputusan yang hampir sama juga diperlihatkan di kampus-kampus IPTA yang lain. Perkembangan ini turut mendapat liputan meluas di dalam akhbar-akhbar tempatan dan ianya cukup memalukan Umno/BN yang jelas semakin tidak popular di kalangan generasi muda.

Selepas berhadapan dengan perkembangan yang amat membimbangkan ini, maka Umno/BN melalui Kementerian Pendidikan dan juga Biro Pendidikan Pemuda Umno yang pada waktu itu diterajui oleh Dato' Dr Adham Baba dengan turut dibantu sepenuhnya oleh Biro Tata Negara (BTN) Jabatan Perdana Menteri, telah memulakan gerak kerja intensif untuk untuk menghapuskan terus pengaruh yang ada pada gerakan pelajar Islam yang mana tindakan ini adalah selaras dengan program induk Umno/BN pasca Pilihan raya Umum 1999 iaitu untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda terpelajar walau dengan apa cara sekali pun.

Manifestasi usaha terancang ini bukan sahaja dapat dilihat dengan grand design menguasai politik kampus, tapi termasuklah juga pendekatan lain seperti memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi remaja lepasan SPM dan juga pengwujudan sayap Puteri Umno.

Timbalan Naib Canselor berlagak seperti Ketua Cawangan Umno

Di kampus-kampus bermula sekitar tahun 2001/2002, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berperanan sepenuhnya untuk menjayakan agenda perdana Umno/BN ini dan telah digerakkan sebagai jentera utama untuk berhadapan dengan MPP dan PMI. Buat pertama kali dalam sejarah pengajian tinggi negara, Timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai HEP, Pengetua dan Fellow-Fellow Kolej bertukar menjadi lebih teruk dari Pengerusi JKKK atau pun Ketua Cawangan Umno!

Mereka tidak lagi berperanan untuk membimbing pelajar dan meningkatkan taraf akademik IPT, tetapi telah berubah menjadi pencacai Umno/BN untuk bermusuh dengan pemimpin pelajar dalam keadaan gaji dan elaun mereka dibayar oleh wang rakyat tanpa mengira parti.

Mesyuarat HEP yang diatur menjelang setiap kali pilihan raya kampus tidak lagi membincangkan bagaimana untuk meningkatkan prestij IPTA atau bagaimana untuk menyiapkan para graduan yang dapat memenuhi kehendak industri dan pasaran kerja. Sebaliknya mesyuarat-mesyuarat tersebut sepenuhnya digunakan untuk mencatur strategi bagaimana untuk memenangkan kumpulan prokerajaan di kampus.

Seiring dengan itu, program-program anjuran MPP dan PMI dan persatuan-persatuan yang dikenal pasti dikuasai oleh mereka yang tidak sehaluan dengan dasar kerajaan kebanyakannya disekat. MPP yang seharusnya menjadi badan perwakilan pelajar bagi memperjuangkan kebajikan pelajar telah dihalang daripada berperanan, bahkan yang lebih teruk MPP dihalang untuk bertemu dengan pelajar yang berada di bawah kepimpinannya.

Minggu Orientasi

Penulis sendiri berpengalaman menghadapi telatah buruk segelintir pegawai-pegawai ini apabila PMUKM Sesi 2001/2002 yang dipimpin oleh penulis telah dihalang untuk turun melakukan lawatan kebajikan di kolej-kolej kediaman UKM. Ianya jelas bertujuan untuk menimbulkan persepsi di kalangan pelajar bahawa MPP gagal berfungsi dengan baik bagi menjaga kebajikan mereka.

MPP juga dinafikan hak untuk duduk di dalam jawatankuasa induk Minggu Orientasi di samping tidak dilibatkan langsung dengan Minggu Orientasi. Ahli-ahli jawatankuasa dan fasilitator Minggu Orientasi hanya dipenuhi oleh pimpinan dan ahli-ahli kumpulan pelajar prokerajaan yang telah ditolak oleh pelajar di dalam Pilihan raya Kampus.

Motifnya amat jelas, iaitu untuk menanam pengaruh mereka di kalangan pelajar baru supaya mengundi mereka di dalam Pilihan raya Kampus. Bahkan yang lebih teruk, Minggu Orientasi digunakan sepenuhnya untuk memburukkan MPP dan PMI serta parti-parti pembangkang di samping pelajar baru diugut supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan anjuran PMI yang sekiranya diengkari boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah Akta Uniuversiti dan Kolej Universiti.

Suasana menekan dan cukup tidak demokratik ini berterusan sepanjang sesi 2001/2002 dan Sesi 2002/2003. Usaha jahat pakatan Umno/BN dan HEP ini mencapai kemuncaknya di dalam Pilihanraya Kampus Sesi 2003/2004 apabila buat pertama kalinya HEP menaja parti politik pelajar yang sah dan berdaftar yang dikenali sebagai Kumpulan Aspirasi di hampir kesemua kampus IPTA bagi bertanding di dalam pilihan raya kampus sesi tersebut. Perbuatan ini jelas menyalahi undang-undang pilihan raya yang digubal oleh HEP sendiri.

Usaha terancang Umno

Usaha terancang UMNO/BN ini terus disahut oleh media-media utama yang mempopularkan label proaspirasi dan propembangkang. Tambah menjijikkan, hanya parti aspirasi sahaja yang dibenarkan wujud untuk bertanding secara berkumpulan, manakala kumpulan selain dari aspirasi tidak dibenarkan untuk ditubuhkan bahkan jika ada pelajar yang bertanding secara berkumpulan selain dari aspirasi diugut untuk diambil tindakan dan dibatalkan pencalonan mereka!

Di kebanyakan kampus, Timbalan Naib Canselor HEP sendiri yang dilantik sebagai Penaung atau pun Penasihat kepada parti aspirasi ini dan mereka dibenarkan bergerak dan berkempen secara rasmi di seluruh kampus. Padahal pada masa sama, Timbalan Naib Canselor HEP di kebanyakan IPTA merupakan Pengerusi kepada Urusetia atau pun Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang dilantik bagi mengendalikan perjalan pilihanraya MPP.

Begitu juga dengan pegawai-pegawai HEP dan Pengetua-Pengetua Kolej yang turut dilantik sebagai urusetia SPR. Keadaan ini samalah ibarat Pengerusi Tetap Umno atau pun Presiden Umno dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) bagi mengendalikan Pilihan raya Umum yang Umno/BN turut bertanding!

Dalam keadaan calon-calon lain tidak dibenarkan mengadakan kempen terbuka, sudut pidato dan juga menerbitkan risalah propaganda kempen, parti aspirasi menikmati semua keistimewaan tersebut dengan segala roadshow dan ceramah mereka dijadikan program rasmi kolej-kolej kediaman dengan penghuni-penghuni kolej diwajibkan untuk menghadirinya.

Penerbitan risalah dan buletin kempen mereka juga ditaja sepenuhnya oleh HEP dan dengan mudah mendapat cop kebenaran untuk disebarkan secara meluas di dalam kampus. Risalah kempen dari calon-calon lain dianggap sebagai “risalah haram” dan sesiapa yang memiliki dan mengedarkannya boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Kempen-kempen 'brainwash' dan tukang ugut

Para pelajar terutamnya pelajar-pelajar baru saban malam dikumpulkan pada malam-malam kempen untuk 'dibrainwash' oleh Pengetua-pengetua dan fellow-fellow kolej kediaman dan diugut berulang kali supaya hanya menyokong calon tajaan universiti (aspirasi) dan tidak mengundi calon-calon yang lain yang dilabel sebagai calon gerakan bawah tanah dan propembangkang.

Malahan ugutan yang diberikan sampai ke tahap tukang-tukang ugut ini mendakwa yang undi para pelajar tidak rahsia dan mereka boleh mengetahui siapa yang diundi oleh para pelajar. Jika didapati para pelajar mengundi calon selain dari aspirasi, pelajar tersebut tidak akan dibenarkan untuk menjadi penghuni kolej kediaman tersebut pada semester akan datang.

Di UKM sebagai contoh, pada saat kempen pilihan raya sedang berjalan, pada ketika itulah Unit Perumahan HEP mengeluarkan borang permohonan untuk tinggal di kolej pada semester yang akan datang di mana borang tersebut perlu diisi dengan mendapat tandatangan pengetua kolej yang memang hampir kesemuanya adalah penasihat kepada parti aspirasi di peringkat kolej kediaman.

Ini bertujuan untuk memberi tekanan psikologi kepada pelajar-pelajar untuk hanya mengundi calon-calon aspirasi. Pada hari pengundian pula, pentadbiran kolej akan mengeluarkan senarai nama calon-calon aspirasi yang mesti diundi oleh para pelajar dengan cara ditampalkan senarai tersebut di papan tanda rasmi kolej kediaman.

Kempen ugut ini kelihatan begitu berjaya sekali menimbulkan ketakutan dikalangan pelajar. Tidak cukup dengan itu, bilik para pelajar yang disyaki menjadi aktivis PMI dan kumpulan proIslam digeledah dan dicari apa jua bukti untuk mengaitkan pelajar tersebut sebagai terbabit dengan pertubuhan haram dan underground.

Peraturan baru yang berat sebelah

Bermula pada tahun 2003 juga, diperkenalkan beberapa peraturan baru yang amat berat sebelah dan amat tidak munasabah serta menjadikan pilihan raya pelajar lebih rendah martabatnya daripada proses memilih pengawas atau pun ketua darjah di sekolah rendah.

Peraturan ini pula dari segi implimentasinya hanya terpakai kepada calon-calon bukan dari kumpulan aspirasi di samping memberikan banyak advantage kepada calon-calon aspirasi, antaranya :

1. Rapat umum dan kempen pidato terbuka bagi calon memperkenalkan dirinya dan manifestonya telah diharamkan dan diganti dengan kempen pidato melalui rakaman video yang mana kandungan ucapan calon hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Piliahnraya (SPR). Tetapi pada masa yang sama calon-calon aspirasi dibenarkan berkempen secara terbuka di kolej-kolej kediaman melalui majlis-majlis kempen yang dianjurkan secara rasmi oleh pengetua kolej kediaman.

2. Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di fakulti-fakulti di mana dekan-dekan fakulti bertindak selaku pegawai pengurus pilihan raya (returning officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi penasihat kepada parti aspirasi di peringkat kolej kediaman. Sedangkan tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman di bawah seliaan pengetua kolej adalah jelas bertentangan dengan Artikel 48 (2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

3. Proses pengiraan undi tidak lagi dijalankan secara yang telus di mana Counting Agent calon-calon tidak dibenarkan lagi untuk memeriksa kertas undian mengikuti pengiraan undi dari dekat sebagaimana yang dibenarkan sebelum ini. Di kebanyakan universiti pengiraan undi dijalankan oleh kakitangan kolej dan HEP dengan cara yang tergesa-gesa dan penuh kerahsiaan dan menimbulkan banyak persoalan dari segi ketelusannya.

4. Poster-poster dan banner-banner calon yang bertanding telah diseragamkan bentuk dan saiznya dan diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)

5. Proses pengisian borang penamaan calon telah diperketatkan prosedurnya dengan calon-calon perlu mendapatkan tanda tangan dari Pengetua Kolej dan pegawai-pegawai HEP. Terdapat banyak kes calon-calon bukan aspirasi dinafikan hak untuk mendapatkan tandatangan oleh pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej yang sememangnya menjadi penasihat kepada parti aspirasi.

6. Tempoh kempen telah disingkatkan kepada hanya dua hari setengah sahaja berbanding dengan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum ini. Tempoh singkat ini tidak mencukupi bagi calon selain aspirasi. Sedangkan calon-calon aspirasi yang dibantu kempen mereka oleh pentadbir universiti telah mula berkempen sejak dari permulaan semester lagi melalui Minggu Orientasi.

7. Di UIA bermula pada tahun 2005, diperkenalkan prosedur selection before the election yang amat tidak munasabah dimana sesiapa yang berhasrat menjadi calon dikehendaki melepasi ujian personaliti, public speaking dan ujian Bahasa Inggeris.

Pilihanraya kotor dan jijik

Selama setahun kempen jahat dan berat sebelah ini berjalan dengan ditambah dengan peraturan gila yang dilaksanakan, maka kesannya kelihatan begitu ketara dalam pilihanrata kampus 2003/2004. Mood politik pelajar semakin menurun bahkan majoriti pelajar IPTA mengundi dalam keadaan takut dan penuh tekanan yang membuatkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas.

Memang kalangan pelajar kita masih punya idealisme yang utuh, tapi pada masa yang sama mereka juga harus memikirkan survival diri dan pengajian mereka. Satu undi kepada kumpulan yang bukan aspirasi, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib. Dengan keadaan pilihan raya yang dijalankan cukup kotor dan jijik, maka keputusannya awal-awal lagi telah dapat dijangkakan.

Buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun, kumpulan proIslam tewas teruk di hampir kesemua kampus-kampus yang selama ini menyaksikan kumpulan prokerajaan begitu sukar untuk menang, kecuali di UM dan di UIA. Gerakan pelajar Islam dan lain-lain kumpulan pelajar progresif telah disembelih terlebih dahulu pada tahun 2003 sebelum dari PAS dan Parti Keadilan diganyang dalam Pilihanraya Umum 2004!

Situasi penyelewengan dan ketidakadilan dalam proses pengendalian pilihan raya kampus terus berlarutan pada sesi 2004/2005 yang menyaksikan kumpulan aspirasi terus berkuasa untuk sesi kedua berturut-turut atas segala penipuan dan pencabulan demokrasi yang dikonspirasikan bersama Umno/BN di luar kampus.

Komplot jahat antara Umno dan Kementerian Pengajian Tinggi

Menjelang pilihanraya kampus sesi 2005/2006, gerakan pelajar progresif yang bergabung di atas nama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah menjalankan advokasi secara serius di dalam dan di luar kampus bagi menuntut pilihan raya yang adil. Berbagai aksi massa dijalankan termasuklah berdemonstrasi di bangunan parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan kepada Menteri Pengajian, turun naik ke pejabat Suhakam bagi membuat aduan tentang salah laku dan penyalahguanaan kuasa di samping menuntut supaya Suhakam dibenarkan masuk ke kampus-kampus untuk memantau proses perjalanan pilihanraya.

SMM juga turut mendekati dan melobi badan-badan lain seperti Majlis Peguam dan juga NGO sivil seperti Suaram dan Aliran bagi mendapatkan sokongan ke atas kempen mereka bagi memulihkan demokrasi di kampus. Dalam masa sama telah timbul pelbagai keraguan terhadap ketelusan perjalanna pilihan raya kampus, akhbar web Malaysiakini dan akhbar dwi mingguan Siasah telah mendedahkan betapa komplot Umno/BN bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggunakan Mesyuarat Penyelarasan Pelajar IPTA yang diadakan pada hari Khamis setiap minggu di Tingkat 38, Menara Dato Onn, PWTC yang juga merupakan Ibu Pejabat Umno sebagai medan untuk membincangkan strategi memenangkan kumpulan aspirasi.

Mesyuarat rasmi anjuran KPT ini yang dibiayai oleh dana awam adalah melibatkan TNC HEP IPTA, pimpinan aspirasi di samping pegawai-pegawai kanan KPT dan HEP. Apa yang lebih mengejutkan, Exco Pemuda Umno, Ikmal Hisham Ismail dan Exco Puteri Umno, Nolee Ashilin Mohd Radzi turut dijemput hadir pada setiap kali mesyuarat tersebut dijalankan (dan ini diakui sendiri oleh Nolee Ashilin sewaktu ditemubual oleh Malaysiakini).

Pendedahan ini jelas mengesahkan dakwaan bahawa Umno/BN campur tangan secara langsung di dalam politik pelajar dengan restu KPT dan HEP sedangkan pada masa sama mereka begitu beria-ia meburukkan parti pembangkang dan menggugut pelajar supaya tidak bersekongkol dengan kumpulan propembangkang. Hingga ke hari ini, KPT tidak menafikan langsung dakwaan salahlakunya ini.

Pada saat-saat terakhir menjelang hari penamaan calon, tuntutan-tuntutan pelajar tidak langsung dipedulikan oleh pihak Kemnterian, bahkan berpuluh-puluh pelajar yang terlibat menghantar memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi telah didakwa di mahkamah universiti di atas tuduhan terlibat dengan perhimpunan haram dan menjalankan kegiatan di luar univerisit tanpa kebenaran Naib Canselor.

Suhakam dilayan seperti kucing kurap

Begitu juga permintaan Suhakam untuk masuk sebagai pemantau juga ditolak mentah-mentah oleh Kemanterian dan pentadbiran IPTA. Entah apa perkara yang begitu hendak dirahsiakan hingga Suhakam yang dibentuk oleh kerajaan sendiri dilayan seperti kucing kurap oleh pentadbir-pentadbir IPTA. Memandangkan pengendalian pilihan raya yang semakin teruk dan jelas tidak demokratik, maka kumpulan pelajar proIslam dan rakan gabungannya di dalam SMM mengambil keputusan memboikot pilihan raya kampus Sesi 2005/2006 di hampir semua IPTA hingga pilihan raya kampus sesi lepas berjalan dalam keadaan begitu hambar dan tidak bermaya.

Mujurlah pentadbir universiti dapat menutup kehambaran tersebut dengan mewajibkan semua pelajar turun mengundi bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib. Pilihanraya kampus sesi lepas (2005/2006) juga telah mencatatkan suatu sejarah penting apabila salah seoarang pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Mozahiri Shamsuddin, telah mengheret UIA ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui tindakan Semakan Kehakiman oleh kerana perlaksanaan peraturan pilihan raya yang tidak adil dan berlawanan dengan undang-undang.

Kumpulan aspirasi sekali lagi memenangi secara mudah pilihan raya kampus tersebut tetapi pada masa sama kemenangan tersebut telah dipersoalkan oleh banyak pihak di dalam dan di luar kampus yang secara keras mempertikaikan cara pilihan raya dikendalikan.

Maka dalam suasana dan persekitaran yang hampir sama, pilihan raya kampus sesi 2006/2007 telah dijalankan baru-baru ini. Situasi dan keadaan yang sama sebelum ini terus berlanjutan buat tahun keempat berturut-turut yang menyaksikan sekali kumpulan proIslam tewas dengan teruk pada pilihan raya kali ini bagi Sesi 2006/2007. Peraturan dan kaedah yang sama berlanjutan digunakan oleh pentadbir-pentadbir universiti dengan restu Kementerian Pengajian Tinggi.

Pinda AUKU

Selepas memboikot pilihan raya kampus yang lepas, para pelajar yang bergabung di bawah SMM mungkin merasakan di bawah teraju Dato' Mustapa Mohamaed selaku Menteri Pengajian Tinggi, suasana demokrasi di kampus mungkin akan ada sedikit perubahan memandangkan kepada latar belakang dan imej Mr Nice Guy yang ada pada Mustapa. Tetapi rupanya Mustapa bukan sahaja sama, bahkan mungkin lebih teruk dari menteri sebelumnya.

Pengumuman-pengumuman popular yang dibuat oleh Mustafa di awal perlantikkannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi seperti cadangan untuk meminda AUKU bagi memberi sedikit kebebesan kepada pelajar dan pensyarah dan juga cadangan reformasi terhadap sistem pengajian tinggi negara rupa-rupanya hanyalah mainan di bibir sahaja yang beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk melaksanakan apa yang dikata.

Mustapa bukan sahaja tidak mengambil tindakan untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya kampus ke arah yang lebih demokratik, bahkan beliau juga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Suhakam memantau proses pilihan raya. Sekiranya beliau beralasan pentadbir universiti yang tidak membenarkan Suhakam masuk, sudah tentulah keputusan universiti tersebut direstui oleh beliau selaku Menteri.

Beliau juga enggan untuk bertemu dengan rombongan SMM yang berkampung di luar PWTC dan Hotel Pan Pacific pada 15hb September lepas menunggu beliau habis bermesyuarat bagi menyerahkan memorandum tuntutan pilihan raya. Yang lebih membimbangkan terdapat beberapa buah IPTA yang memperkenalkan sistem penguindian secara elektronik (E-Voting) bagi menggantikan sistem pengundian secara manual hingga menyebabkan kumpulan proIslam dan rakan gabungannya, DEMA telah bertindak memboikot Pilihan raya di UPM.

Sistem pengundian ini yang amat diragui ketelusannya oleh kerana ianya berisiko besar untuk diselewengkan terutamanya oleh pihak yang mengendalikan pilihan raya telah diperkenalkan sebagai perintis pada tahun ini dan dikatakan akan dilaksanakan di kesemua IPTA pada tahun hadapan. Justeru, tidak ada bezanya perjalanan pilihan raya kali ini dengan tiga pilihan raya sebelum ini.

Penyelewengan dan salah laku

Pilihan raya kampus hanyalah dijalankan sebagai rutin tahunan kononnya bukti demokrasi ditegakkan sedangkan perlaksanaannya, amat ketara berat sebelah, kotor dan tidak telus. Maka, apalah sangat yang dapat diharapkan dari Pilihan raya kampus kali ini selain dari menyaksikan kumpulan aspirasi terus ‘menang’ untuk sesi keempat berturut-turut.

Mungkin bagi sesiapa yang tidak begitu mengikuti perkembangan politik kampus akan berpandangan segala apa yang diceritakan penulis sebagai satu pembohongan atau sebagai satu alasan yang lazim dibuat oleh mereka yang kalah pilihan raya dan penulis juga amat yakin akan turut di label berperangai sama dengan PAS dan parti pembangkang yang menyalahkan kepada SPR dan pengundi hantu selepas tewas teruk dalam pilihan raya umum 2004. Tetapi penulis ingin menjawab bahawa sesuatu perkara yang didakwa bukanlah pembohongan sekiranya terdapat bukti dan keterangan kukuh di samping mereka yang dituduh tidak mampu untuk menjawabnya selain dari sekadar membuat penafian kosong (bare denial).

Justeru, penulis ingin mencabar kepada mana-mana Timbalan Naib Naib Canselor HEP terutamanya Pengerusi gabungan TTNC HEP IPTA Malaysia yang merupakan jurucakap kepada TNC-TNC HEP, Professor Dato' Dr Mohd Wahid Shamsuddin yang juga merangkap TNC HEP UKM, untuk menafikan kesemua fakta-fakta yang disebutkan penulis di sini bahawasanya pilhan raya kampus telah dijalankan dengan tidak adil dan demokratik.

Suhakam sendiri pernah menerbitkan suatu laporan bertajuk "Report on the Allegations of Unfair Practices in relation to University Elections" pada penghujung tahun 2004 di mana laporan tersebut telah memuatkan berbagai senarai laporan 18 salah laku dan penyelewengan yang di dakwa berlaku semasa pilihan raya kampus 2003/2004.

Laporan tersebut juga menyebut bahawa Suhakam telah menulis surat kepada 11 buah IPTA untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan salah laku dan penyelewengan semasa pilihan raya tersebut, tetapi malangnya, hampir kesemua IPTA terbabit tidak mempedulikan langsung surat yang dihantar oleh Suhakam.

Logik yang dapat disimpulkan, sekiranya kesemua 18 salah laku tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan, maka sudah tentulah kesemua IPTA terbabit akan menafikan sekeras-kerasnya. Ataupun tindakan yang paling bijak ialah membenarkan Suhakam memantau sendiri perjalanan pilihan raya kampus bagi sesi-sesi seterusnya. Tetapi jelaslah bahawa IPTA-IPTA tersebut cuba menyembunyikan sesuatu dan amat takut sekiranya segala bentuk ketidakadilan yang dilakukan semasa mengendalikan pilihanraya kampus diketahui dan didedahkan oleh Suhakam.

Kebebasan IPTA telah terkubur

Maka tidak hairanlah, hingga ke pilihan raya kampus yang terbaru yang diadakan pada 21 September lepas, kesemua IPTA di Malaysia secara tegas menghalang Suhakam dari menjalankan gerak kerja pemantauan yang sememangnya menjadi salah satu tugasnya yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Akhirnya, penulis ingin menasihatkan semua pihak agar tidak terlalu terkesan dengan keputusan pilihan raya kampus baru-baru ini, sama ada anda di pihak yang bergembira dengan kemenangan aspirasi ataupun kecewa dengan ketewasan kumpulan proIslam dan rakan gabungannya, lantaran dari pilihan raya kampus yang hanya merupakan kosmetik politik pemerintah yang bersalut dengan seribu satu penipuan dan pengkhianatan.

Pilihan raya kampus di Malaysia tidaklah menyaksikan pelajar bertanding sesama pelajar, tetapi ianya adalah perlawanan di antara satu kumpulan pelajar yang serba daif melawan seluruh jentera universiti dan juga Kementerian yang sudah tentulah satu pertembungan yang amat tidak adil dan tidak seimbang.

Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihan raya dengan cara menipu dan menekan lawan. Pilihan raya baru-baru ini tidak memberikan sebarang makna selain dari menjadi satu manifestasi kepada kemerosotan nilai intelektual dan budaya ilmu selain dari penghakisan terhadap demokrasi yang menjanjikan masa depan yang gelap kepada negara kita.

Menara gading yang seharusnya menjadi tapak subur kepada kebebasan berpolitik sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan telah bertukar menjadi liang lahad yang menguburkan kebebasan dan hak asasi. Kita tidak ingin menangisi apakah yang akan terjadi kepada produk IPTA tempatan yang lahir di tengah-tengah kemusnahan pertimbangan kemanusiaan lantaran kepentingan politk sempit kerajaan yang memerintah, selain dari kita menguatkan iltizam untuk mengubah keadaan yang ada.

No comments: